TERBUKA TIRAI

Assalamulaikum wrt wbt, Salam Sejahtera

Selamat mengunjungi laman Buletin Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kepada para pengunjung budiman. Buletin Fakulti Bahasa atau nama ringkasnya BAHTERA merupakan laman informasi yang memuatkan berita-berita semasa dan terkini tentang pelbagai aktiviti, peristiwa, dan perkembangan bahasa dan kesusasteraan yang berlaku di sekitar Fakulti Bahasa, UPSI dan negara keseluruhannya. Tujuan buletin ini adalah untuk menyediakan ruang informasi yang boleh dikongsi bersama, dimanfaatkan faedahnya, disebarluaskan perkembangannya dan dicaknai sensitivitinya dalam kalangan kerabat fakulti, universiti dan masyarakat umum. Semoga informasi yang disajikan dalam buletin ini dapat menyegarkan minda dan menyuburkan khazanah ilmu ke arah menjadikan diri kita sebagai manusia yang berinformasi dan cakna maklumat
.

Khamis, 4 Februari 2010

SEMINAR SEHARI MEMUGAR ADAT WARISAN


FAKULTI BAHASA, 4 Feb - Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu akan menganjurkan Seminar sehari Memugar Warisan Adat Melayu bertempat di Auditorium Utama UPSI pada 10 Februari ini. Seminar ini dianjur dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Sembilan dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN). Menurut Penyelaras Seminar Dr Ani Omar (foto), seramai 14 orang pembentang kertas kerja akan terlibat dalam seminar ini dan dijangkakan seramai 200 peserta akan menyertainya. Sehubungan dengan itu, Dr Ani menyeru kepada semua ahli akademik di Fakulti Bahasa hadir sama bagi memeriahkan seminar ini. Seminar sehari ini dijangka akan dirasmikan oleh Yang Berbahagia Prof. Dato' Dr. Aminah Ayob, Naib Canselor UPSI.

Ahad, 31 Januari 2010

SYARAHAN ADJUNG


UPSI, 29 Jan - Satu Syarahan Adjung telah diadakan pada 29 Januari lalu jam 9.00 bertempat di Auditorium 1 UPSI. Syarahan Adjung kali ini disampaikan oleh Profesor Dr. Hj. Awang Sariyan (foto) dengan judul syarahan `Keterampilan Menulis`. Inti syarahan tertumpu kepada kaedah menulis, ketertiban dalam penulisan dan etika.
Seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada pelajar kursus Keterampilan menulis Jabatan Bahasa Melayu terlibat dalam syarahan ini. Selain itu turut hadir ialah para pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa.

SYARAHAN EKSEKUTIF SASTERA MELAYU


UPSI, 29 Jan - Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Fakulti Bahasa telah menganjurka syarahan Eksekutif Siri 1 baru-baru ini bertempat di Bilik Hamzah Fansuri Fakulti Bahasa. Syarahan ii dikhususkan hanya kepada pelajar semester 6, pelajar sarjana program Kesusasteraan Melayu dan pensyarah Kesusasteraan Melayu sekitar 35 orang.
Syarahan siri 1 dalam bidag kesusasteraan Melayu tradisional telah disampaikan oleh Prof. Madya Dato' Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin (foto) dengan tajuk `Unsur-usur demokrasi dalam adat perpatih`.
Menurut Setiausaha Program Syarahan, sdr Abdul Halim Ali, syarahan Eksekutif akan menghimpunkan para pelajar tahun akhir dan pelajatr sarjana serta pensyarah bagi mendalami satu-satu topik yang berkait dengan kesusasteraan Melayu. Selain itu, hasil syarahan ini juga akan dibukukan dan dicetak untuk edaran umum.

Selasa, 26 Januari 2010

Ukhwah dalam Perhimpunan Fakulti Bahasa

Perhimpunan Fakulti Bahasa yang berlangsung pada 20 Januari lalu bukan sahaja menjadi medan untuk mengukuhkan ukhwah yang sedia terjalin antara kakitangan akademik dan bukan akademik fakulti ini bahkan sebagai medium penting untuk memperkenalkan kerabat keluarga Fakulti Bahasa yang baharu.

Dr. Haji Abdul Ghani Abu dalam ucapannnya, mengalu-alukan kehadiran Prof. Dr. Khang Kyong Seok, Dr. Lin Chia Ying, Prof. Lim Chee Seng, Dr. Siti Saniah Abu Bakar, dan Dr. Siti Saniah Abu Bakar dan Cik Hafiza Rejab sebagai kerabat keluaega Fakulti Bahasa.

Kehadiran mereka dianggap sangat penting dalam meneruskan tradisi kecermelangan dan kebitaraan Fakulti Bahasa dalam memartabatkan dunia pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan negara Malaysia secara amnya.

Sepanjang tahun lepas telah banyak kejayaan yang dicapai oleh Fakulti Bahasa, sama ada dari segi pencapaian pelajarnya dalam bidang akademik dan juga bukan akademik. Demikian juga, Fakulti Bahasa turut menempa nama dalam penganjuran seminar sama ada yang bertaraf nasional dan antarabangsa. Kejayaaan ini merupakan hasil kerja keras, usahasama, dan penglibatan semua kakitangan fakulti ini.

Maka, dengan kehadiran ahli kerabat fakulti yang baharu ini, menerusi ukhwah yang terjalin melalui program Perhimpunan Fakulti Bahasa, kita berharap bahawa pada tahun 2010 lebih banyak kejayaan manis yang akan ditempa dan diukir.

Ahad, 17 Januari 2010

Suara Siswa di Sudut Pidato Fakulti Bahasa




Oleh: Hasrina Baharum

Suara siswa yang melontarkan pandangan kritis terhadap pelbagai isu semasa dalam dan luar negara lantang bergema di Sudut Pidato, (Speaker’s Corner) Fakulti Bahasa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 13 Januari lalu. Banyak isu yang disentuh, termasuklah perihal penempatan guru, isu moral dan kualiti guru, isu alam sekitar, perkembangan teknologi komunikasi, dan juga masalah sosial dalam kalangan pelajar pada hari ini.

Sebanyak sembilan orang siswa pelbagai kaum dari beberapa fakulti dan jabatan mengambil bahagian dalam program yang berlangsung selama satu jam, bermula daripada pukul 2.00 – 3.00 petang di Laman Pendeta, Fakulti Bahasa, UPSI itu. Siswa berpeluang untuk tampil ke atas pentas pidato dan menyuarakan pandangan dan pemikiran mereka berhubung sesuatu isu secara kritis dan rasional menurut saluran yang betul.

Menurut, Dr. Haji Abdul Ghani Abu, Dekan Fakulti Bahasa, program Sudut Pidato ini telah diputuskan di peringkat pengurusan tertinggi pihak universiti ini merupakan antara langkah proaktif universiti dalam melahirkan siswa yang berani, berketerampilan, serta mampu melahirkan suara minda mereka mengikut saluran yang betul, terpuji, lagi terhormat.

Di samping itu, Sudut Pidato ini juga dianggap sebagai medan terbaik untuk siswa menyalurkan mesej mereka berkenaan sesuatu isu atau dasar yang menyangkut program dan profesion keguruan kepada pihak atasan, khususnya pengurusan tertinggi universiti dan pihak kerajaan amnya.

Program yang merupakan anjuran bersama Fakulti Bahasa, Perpusatakaan Tuanku Bainun, UPSI, dan Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (TNCPI) ini juga mampu melahirkan siswa, khususnya bakal guru yang peka terhadap isu semasa serta kritis dalam menilai dan mencerna isu tersebut.
Yang paling penting, sudut pidato dapat mengembalikan suara mahasiswa yang selama ini daianggap terkongkong oleh Akta Kolej dan Universiti (AUKU) dalam keadaan yang positif, terkawal, serta mengikut saluran yang sepatutnya – bukannya dengan cara mengadakan demonstrasi melulu seperti yang berlaku di negara-negara tertentu

Sudut Pidato akan menjadi acara mingguan universiti sepeanjang semester, iaitu pada setiap hari Rabu selama sejam, bermula pukul 2.00 – 3.00 petang, di tempat yang sama, iaitu Laman Pendeta Fakulti Bahasa. Siswa yang terdiri daripada bakal guru disarankan memanfaatkan program ini dalam usaha membentuk peribadi dan keterampilan mereka sebagai pendidik yang berkaliber.

Selain siswa, program ini a ini turut dihadiri oleh pensyarah UPSI, termasuklah Dekan Fakulti Bahasa, Dr. Haji Abdul Ghani Abu, Ketua Jabatan Bahasa Inggeris, Dr. Che Ton Mahmud, dan juga Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Dato’ Paduka Prof. Madya Dr Mohd. Rosli Saludin.

Rabu, 13 Januari 2010

ABDUL HALIM IBRAHIM LULUS PH.D


FAKULTI BAHASA - 12 Jan. Pensyarah Jabatan Bahasa Inggeris Abdul Halim Ibrahim telah berjaya memperolehi ijazah kedoktorannya dalam bidang TESL dan kini bergelar Doktor Abdul Halim Ibrahim. Beliau yang baharu telah disahkan sebagai lulus oleh Senat Universiti pada awal Januari dan telah menerima surat pengerah daripada Pendaftar Universiti pada 8 Januari lalu.

PENSTRUKTURAN FAKULTI BAHASA


TANJUNG MALIM - 11 Jan. Fakulti Bahasa telah distruktur semula dengan melibatkan perubahan nama fakulti dan beberapa jabatan. Penstrukturan semula ini ini bagi memenuhi matlamat penambahbaikan dan penawaran program baharu pada masa hadapan. Selain Fakuti Bahasa, penstrukturan ini juga melibatan hampir semua Fakulti. Demikian pengumuman oleh Naib Canselor, UPSI, Prof.DAto Aminah Ayob (Foto) sempena ucapan amanat Naib Canselor di Dewan SITC pada 11 Januari lalu.
Penstrukturan ini melibatkan pertukaran nama Fakulti Bahasa menjadi Fakulti Bahasa dan Komunikasi. Manakala Jabatan Bahasa Melayu dan Jabatan Kesusasteraan Melayu di gabungkan menjadi Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu. Manakal Jabatan Bahasa Inggeris dikekalkan. Dua buah Jabatan baharu yang diwujudkan ialah Jabatan Komunikasi dan Jabatan Bahasa Moden.

Isnin, 11 Januari 2010

BULETIN FAKULTI SEBAGAI LAMAN INFORMASI


TANJONG MALIM. 11 Jan. Para pensyarah dan mahasiswa perlu didedahkan dengan pelbagai maklumat yang berkaitan dengan aktiviti, peristiwa dan perkembangan yang berlaku di Fakulti Bahasa, khususnya yang berkaitan dengan pengajian, persidangan dan penerbitan. Dengan makluamt ini, anggota fakulti baik mahasiswa mahupun pensyarah akan lebih cakna dan sedar dengan perkembangan yang berlaku di Fakulti. Demikian tegas Dekan Fakulti Bahasa, Dr Hj Abdul Ghani Abu (foto) pada mesyuarat Jawatankuasa Penerbitan Fakulti Bahasa pada 11 Januari di sini. Sebagai langkah menuju ke arah itu, Fakulti akan menerbitkan Buletin Fakulti Bahasa dalam bentuk blog dan juga cetakan mulai Januari ini. Dalam mesyuarat tersebut, Puan Hasrina Baharum dan Encik Lew telah dilantik menganggotai Sidang Editorial Buletin Fakulti. -