TERBUKA TIRAI

Assalamulaikum wrt wbt, Salam Sejahtera

Selamat mengunjungi laman Buletin Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kepada para pengunjung budiman. Buletin Fakulti Bahasa atau nama ringkasnya BAHTERA merupakan laman informasi yang memuatkan berita-berita semasa dan terkini tentang pelbagai aktiviti, peristiwa, dan perkembangan bahasa dan kesusasteraan yang berlaku di sekitar Fakulti Bahasa, UPSI dan negara keseluruhannya. Tujuan buletin ini adalah untuk menyediakan ruang informasi yang boleh dikongsi bersama, dimanfaatkan faedahnya, disebarluaskan perkembangannya dan dicaknai sensitivitinya dalam kalangan kerabat fakulti, universiti dan masyarakat umum. Semoga informasi yang disajikan dalam buletin ini dapat menyegarkan minda dan menyuburkan khazanah ilmu ke arah menjadikan diri kita sebagai manusia yang berinformasi dan cakna maklumat
.

Ahad, 17 Januari 2010

Suara Siswa di Sudut Pidato Fakulti Bahasa




Oleh: Hasrina Baharum

Suara siswa yang melontarkan pandangan kritis terhadap pelbagai isu semasa dalam dan luar negara lantang bergema di Sudut Pidato, (Speaker’s Corner) Fakulti Bahasa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 13 Januari lalu. Banyak isu yang disentuh, termasuklah perihal penempatan guru, isu moral dan kualiti guru, isu alam sekitar, perkembangan teknologi komunikasi, dan juga masalah sosial dalam kalangan pelajar pada hari ini.

Sebanyak sembilan orang siswa pelbagai kaum dari beberapa fakulti dan jabatan mengambil bahagian dalam program yang berlangsung selama satu jam, bermula daripada pukul 2.00 – 3.00 petang di Laman Pendeta, Fakulti Bahasa, UPSI itu. Siswa berpeluang untuk tampil ke atas pentas pidato dan menyuarakan pandangan dan pemikiran mereka berhubung sesuatu isu secara kritis dan rasional menurut saluran yang betul.

Menurut, Dr. Haji Abdul Ghani Abu, Dekan Fakulti Bahasa, program Sudut Pidato ini telah diputuskan di peringkat pengurusan tertinggi pihak universiti ini merupakan antara langkah proaktif universiti dalam melahirkan siswa yang berani, berketerampilan, serta mampu melahirkan suara minda mereka mengikut saluran yang betul, terpuji, lagi terhormat.

Di samping itu, Sudut Pidato ini juga dianggap sebagai medan terbaik untuk siswa menyalurkan mesej mereka berkenaan sesuatu isu atau dasar yang menyangkut program dan profesion keguruan kepada pihak atasan, khususnya pengurusan tertinggi universiti dan pihak kerajaan amnya.

Program yang merupakan anjuran bersama Fakulti Bahasa, Perpusatakaan Tuanku Bainun, UPSI, dan Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (TNCPI) ini juga mampu melahirkan siswa, khususnya bakal guru yang peka terhadap isu semasa serta kritis dalam menilai dan mencerna isu tersebut.
Yang paling penting, sudut pidato dapat mengembalikan suara mahasiswa yang selama ini daianggap terkongkong oleh Akta Kolej dan Universiti (AUKU) dalam keadaan yang positif, terkawal, serta mengikut saluran yang sepatutnya – bukannya dengan cara mengadakan demonstrasi melulu seperti yang berlaku di negara-negara tertentu

Sudut Pidato akan menjadi acara mingguan universiti sepeanjang semester, iaitu pada setiap hari Rabu selama sejam, bermula pukul 2.00 – 3.00 petang, di tempat yang sama, iaitu Laman Pendeta Fakulti Bahasa. Siswa yang terdiri daripada bakal guru disarankan memanfaatkan program ini dalam usaha membentuk peribadi dan keterampilan mereka sebagai pendidik yang berkaliber.

Selain siswa, program ini a ini turut dihadiri oleh pensyarah UPSI, termasuklah Dekan Fakulti Bahasa, Dr. Haji Abdul Ghani Abu, Ketua Jabatan Bahasa Inggeris, Dr. Che Ton Mahmud, dan juga Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Dato’ Paduka Prof. Madya Dr Mohd. Rosli Saludin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan